KUALA LUMPUR, 9 Disember – Pelari berpengalaman negara, Zaidatul Husniah Zulkifli optimis mahukan satu lagi detik manis pada penampilan ketujuhnya di Sukan SEA Thailand 2025, khususnya dalam acara 4×100 meter wanita.
Pada edisi Kemboja 2023 lalu, Zaidatul bersama Azreen Nabila Alias, Nur Afrina Batrisyia Mohd Rizal dan Nur Aishah Rofina Aling meraih pingat gangsa dengan catatan 44.58 saat, sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan yang bertahan sejak 2017.
Dua tahun kemudian, atlet berusia 32 tahun itu kembali dengan misi baharu meneruskan momentum di Bangkok dan sekali lagi menempatkan Malaysia di pentas podium.
Untuk edisi kali ini, kuartet negara mengekalkan hampir semua pelari kecuali Azreen yang diganti Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka susulan mengalami kecederaan.
Zaidatul bagaimanapun yakin keserasian pasukan tidak terjejas.
“InsyaAllah dengan keserasian dan latihan mencukupi, kami yakin boleh berikan yang terbaik di Sukan SEA nanti,” katanya, yang turut akan beraksi dalam acara 100 meter individu.
Menggalas status atlet paling senior dalam pasukan, Zaidatul menekankan bahawa fokusnya kini adalah mengekalkan ketenangan tanpa meletakkan tekanan berlebihan kepada diri sendiri atau rakan sepasukan.
“Bagaimanapun saya tidak mahu meletakkan banyak tekanan, sebab nanti masing-masing stres, jadi untuk ‘relay’, masing-masing ada peranan jadi mereka sudah tahu.
”Sebagai senior saya tidak mahu memberi tekanan, sebaliknya hadapi dengan gembira, jika pasukan gembira, saya pun turut gembira,” katanya.
Mengulas sasaran pingat, Zaidatul mengakui acara 4×100 meter menjadi sandaran utama skuad negara.

