KUALA LUMPUR, 11 September– Lebih 1,000 atlet karate akan berentap pada Kejohanan WKF Karate 1-Series A Kuala Lumpur 2025 di N9 Arena, Nilai, Negeri Sembilan dari 3 hingga 5 Oktober depan.
Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) dalam kenyataan berkata kejohanan tersebut dianjurkan dengan kerjasama Persekutuan Karate Dunia (WKF), bakal menghimpunkan atlet elit dalam kategori Kumite dan Kata.
Edisi kali ini menyaksikan penyertaan lebih 96 atlet bagi setiap kategori Kumite serta 128 peserta dalam Kata yang menjanjikan saingan sengit bertaraf antarabangsa.
Siri Kuala Lumpur merupakan pusingan keempat dan terakhir WKF K1 Series A 2025 selepas Tbilisi (Georgia), Larnaca (Cyprus) dan Salzburg (Austria).
Presiden MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata penganjuran itu sekali lagi membuktikan kemampuan Malaysia sebagai tuan rumah acara sukan bertaraf dunia.
“Kami amat berbesar hati menerima komuniti karate dunia di Nilai. N9 Arena akan menjadi nadi keunggulan seni mempertahankan diri pada Oktober ini.
Selepas kejayaan tahun lalu, kami berbangga membawa pusingan Kuala Lumpur 2025 ke Negeri Sembilan dengan harapan ia memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya dalam kenyataan.
WKF K1 Series A merupakan kejohanan tahap kedua dalam struktur liga WKF yang memberi peluang kepada atlet menambah mata ranking dunia sebelum ke Kejohanan Dunia di Paris, Oktober depan dan Kejohanan Dunia Senior di Mesir, November nanti.

