Trump dijangka hadiri undian Piala Dunia 2026

WASHINGTON, 3 Disember – Undian rasmi Piala Dunia 2026, edisi terbesar dalam sejarah kejohanan bola sepak dunia akan berlangsung di Washington pada Jumaat, dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dijangka menghadiri majlis berkenaan.

Kejohanan yang diperluas kepada 48 pasukan, berbanding 32 pasukan pada edisi 2022 di Qatar, akan berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada dari 11 Jun hingga 19 Julai tahun depan.

Kehadiran Trump pada majlis di Kennedy Center menonjolkan hubungan rapatnya dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino, yang kerap melakukan kunjungan ke White House dan turut menghadiri beberapa sidang kemuncak antarabangsa bersama Trump sejak Amerika Utara dipilih sebagai tuan rumah pada 2018.

Hubungan baik Infantino dengan Trump turut mencetuskan jangkaan bahawa Presiden AS itu akan diumum sebagai penerima pertama FIFA Peace Prize, yang buat julung kali diberikan pada majlis undian tersebut.

Trump sebelum ini menjadikan Piala Dunia sebagai acara utama sepanjang penggal kedua pemerintahannya, seiring sambutan ulang tahun ke-250 kemerdekaan Amerika Syarikat tahun depan.

Namun beliau turut mengaitkan politik domestik apabila mengancam memindahkan venue perlawanan dari bandar yang ditadbir parti Demokrat sekiranya beliau menganggap keadaan di kawasan berkenaan ‘tidak selamat’.

Dalam perkembangan lain, Iran mengumumkan akan memboikot undian berkenaan selepas Amerika Syarikat enggan mengeluarkan visa kepada beberapa anggota delegasinya. Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran, Mehdi Taj, menyifatkan tindakan itu bermotif politik dan menggesa FIFA campur tangan.

“Ini jelas bersifat politik dan FIFA perlu meminta Washington menghentikan tindakan sebegini,” katanya.

 

12 Kumpulan, Pasukan Baharu dan Bintang Veteran

Piala Dunia 2026 akan menampilkan 12 kumpulan, dengan juara bertahan Argentina mengetuai senarai pilihan utama bersama tiga negara tuan rumah — Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada — serta Brazil, France, Germany, Spain, England, Portugal, Netherlands dan Belgium.

Cristiano Ronaldo, mengesahkan penampilan keenamnya bersama Portugal akan menjadi yang terakhir dan bertekad menamatkan karier dengan menjulang gelaran dunia pertama negaranya.

Format baharu itu turut membuka laluan kepada beberapa pasukan yang layak buat kali pertama, antaranya Cape Verde, Jordan dan negara kecil Caribbean, Curacao.

Enam lagi slot akan ditentukan melalui pusingan play-off, dengan pasukan pilihan mahu mengelak Itali namun masih berpeluang layak menerusi dua perlawanan penentuan.

 

Venue Bersejarah dan Kebimbangan Harga Tiket

Perlawanan pembukaan akan berlangsung di Stadium Azteca, Mexico City, yang pernah menjadi tuan rumah final Piala Dunia 1970 dan 1986. Kejohanan akan diteruskan selama hampir enam minggu sebelum berakhir di Stadium MetLife, New Jersey.

Disebabkan jadual yang kompleks, pasukan hanya akan mengetahui lokasi perlawanan dan waktu sepak mula pada Sabtu, sehari selepas undian.

Kumpulan penyokong pula memberi amaran kemungkinan kenaikan mendadak harga tiket susulan penggunaan sistem harga dinamik FIFA.

Laman pasaran sekunder seperti Stubhub dan Seatgeek di Amerika Syarikat telah menunjukkan lonjakan awal, dengan harga bagi final pada 19 Julai di New Jersey bermula sekitar AS$7,000.- AFP