Tiket Piala Dunia 2026 “cekik darah”, FSE desak rundingan segera

Los Angeles, 12 Disember – Football Supporters Europe (FSE) menggesa FIFA untuk segera menghentikan penjualan tiket Piala Dunia 2026, sambil menuduh badan induk bola sepak dunia itu mengenakan harga terlampau mahal berbanding edisi 2022.

Dalam kenyataan pada Khamis,FSE berkata harga tiket yang diperuntukkan kepada Participating Member Associations (PMA) lazimnya dijual melalui kelab penyokong rasmi telah melonjak ke tahap sangat mahal hingga membebankan penyokong setia.

Bagaimanapun FIFA setakat ini belum mengeluarkan sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas isu tersebut.

Menurut FSE, berdasarkan jadual harga yang diedarkan secara tidak rasmi kepada persatuan bola sepak negara, seorang penyokong perlu membayar sekurang-kurangnya AS$6,900 (RM28,290) iaitu hampir lima kali ganda kos yang dikenakan pada Piala Dunia 2022 di Qatar.

FSE turut memaklumkan bahawa penyokong diminta membayar jumlah penuh seawal tahun 2026 untuk memastikan hak pembelian tiket sehingga perlawanan akhir.

Lebih memburukkan keadaan, kategori tiket paling murah iaitu Kategori 4 tidak akan diperuntukkan kepada penyokong tegar melalui persatuan negara masing-masing.

Sebaliknya, FIFA akan menjualnya kepada umum melalui sistem yang tertakluk kepada harga dinamik, sekali gus menambahkan rasa tidak puas hati peminat.

Keputusan itu disifatkan FSE sebagai satu “pengkhianatan besar” terhadap tradisi Piala Dunia dan peranan penyokong.

“Harga yang FIFA tetapkan benar-benar mengejutkan,” kata Pengarah Eksekutif FSE, Ronan Evain.

“Beberapa individu cuba memaksimumkan keuntungan daripada kejohanan ini, dan pendekatan sebegini menjejaskan nilai sebenar Piala Dunia.”

Evain turut mendedahkan bahawa harga tiket final mencecah AS$4,000, sambil memberi amaran bahawa suasana meriah di stadium tidak akan wujud jika peminat tidak mampu hadir.

Buat julung kalinya juga, harga tiket peringkat kumpulan tidak lagi seragam.

FIFA memperkenalkan struktur harga berubah-ubah berdasarkan “daya tarikan” sesuatu perlawanan satu perkara yang dikritik FSE kerana kurang telus dan tidak konsisten.

Susulan itu, FSE menggesa FIFA menangguhkan penjualan tiket PMA dan mengadakan rundingan bersama persatuan bola sepak, kumpulan penyokong dan pihak berkepentingan lain “sehingga penyelesaian yang menghormati tradisi, keterangkuman dan nilai budaya Piala Dunia dapat dicapai”. – REUTERS