Tiada peletakan jawatan atau pembubaran Exco FAM

KUALA LUMPUR, 16 Disember – Tiada pembubaran barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Itu tegas Pemangku Presiden badan induk tersebut, Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang turut menafikan dakwaan peletakan jawatan beramai-ramai Exco FAM tersebut seperti yang tular di media sosial.

“Untuk makluman, pelantikan dan pemilihan semua Exco FAM dibuat melalui saluran yang sah dan berperlembagaan, hasil daripada proses pengundian di Kongres FAM selaras dengan Statut FAM serta garis panduan yang ditetapkan oleh badan induk bola sepak antarabangsa.

“FAM menegaskan bahawa struktur kepimpinan sedia ada terus menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan penuh komitmen demi memastikan kelangsungan tadbir urus serta pembangunan bola sepak negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata FAM kekal komited untuk terus beroperasi secara telus, profesional dan berintegriti demi kepentingan bola sepak Malaysia. – BERNAMA