Sukan SEA Thailand: Zulfikri rangkul pingat perak acara MTB

BANGKOK, 11 Disember– Pelumba berbasikal bukit negara (MTB), Zulfikri Zulkifli menghadiahkan pingat perak buat kontinjen Malaysia selepas menamatkan saingan acara “cross country” di Sukan SEA Thailand 2025, hari ini.

Aksi yang berlangsung di Zoo Terbuka Khao Kheow, Chonburi, Zulfikri mempamerkan kayuhan mantap sepanjang perlumbaan untuk mencatat masa 1 jam 35.277 saat, hanya dipisahkan 3.587 saat daripada juara acara itu, Rendy Varera dari Indonesia.

Pingat gangsa menjadi milik atlet Filipina, Mark Louwel, yang menamatkan perlumbaan dengan masa 1 jam 41.859 saat.

Kejayaan Zulfikri turut merakam pingat pertama buat kem berbasikal bukit negara pada temasya kali ini, selepas skuad wanita berputih mata dalam acara “downhill” pada Rabu.