Sukan SEA: Malaysia kejutkan Thailand, raih emas poomsae wanita

BANGKOK, 10 Disember -Skuad taekwondo wanita negara mencipta kejutan besar dalam acara poomsae berpasukan apabila menumbangkan pilihan utama, Thailand, pada final Sukan SEA 2025 di Fashion Island.

Trio muda negara, Seah Jing Ying, Wong Zin dan Yow Mei Yee, mempamerkan rutin paling kemas musim ini untuk mengumpul 8.560 mata.

Sekali gus, mengatasi pasukan tuan rumah yang mencatat 8.450 mata dalam pertarungan penuh debaran.

Walaupun pada awalnya hadir ke Bangkok dengan sasaran menimba pengalaman, ketiga-tiganya menunjukkan kemampuan sebenar.

Disiplin tinggi, gerakan seirama dan teknik tersusun dipamerkan, yang akhirnya mengangkat mereka ke puncak podium.

Kejayaan itu hadir selepas suasana penuh emosi melanda kem negara beberapa jam sebelumnya.

Beregu campuran Malaysia terpaksa akur dengan keputusan rayuan penalti teknikal yang ditolak meskipun melalui proses semakan panjang, sekali gus menutup peluang mereka meraih pingat.

Namun, situasi itu tidak menjejaskan fokus skuad wanita negara yang kembali ke gelanggang dengan semangat luar biasa untuk menghadiahkan Malaysia satu lagi pingat emas.