BANGKOK, 14 Disember – Jaguh lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan, mencipta detik gemilang apabila menghadiahkan pingat emas bersejarah kepada kontinjen Malaysia pada Sukan SEA Thailand 2025, sekali gus menamatkan penantian lebih tiga dekad negara dalam acara itu.
Beraksi penuh keyakinan di Stadium Nasional Suphachalasai, pada Sabtu, Jonah bukan sahaja mengungguli saingan, malah berjaya memecahkan rekod kebangsaan dan rekod temasya menerusi lontaran sejauh 18.78 meter.
Pingat perak dimenangi atlet tuan rumah, Thongchai Silamool dengan lontaran 16.80m, manakala gangsa menjadi milik wakil Filipina, William Morrison, yang mencatat 16.66m.
Kejayaan Jonah turut melakar sejarah tersendiri apabila kali terakhir Malaysia meraih emas acara lontar peluru di Sukan SEA adalah pada edisi 1993 di Singapura, menerusi Arjan Singh, sekali gus menamatkan kemarau 32 tahun dalam acara berkenaan.
Rekod kebangsaan sebelum ini juga milik Jonah dengan jarak 18.66m, dicatatkan pada temasya Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA), September lalu, manakala rekod lama temasya adalah 18.14m, yang turut dicatatkan atlet Filipina, William Morrison pada edisi 2022.
Pingat emas itu juga menjadi pingat pertama Jonah di pentas Sukan SEA, selepas terpaksa pulang tanpa sebarang pingat pada edisi dua tahun lalu di Kemboja.

