Sukan Sea 2025 : Ummi Mashitah cipta kejayaan rangkul emas

BANGKOK, 17 Disember – Walaupun baru dua tahun menceburi sukan silat, pesilat negara, Ummi Mashitah Hassan mencipta kejayaan membanggakan dengan merangkul pingat emas menerusi acara wanita Kelas C (55–60 kilogram) pada Sukan SEA Thailand 2025.

Bertanding buat kali pertama di temasya dwitahunan yang berlangsung di Arena IMPACT, Muang Thong Thani, Ummi Mashitah menampilkan persembahan mengagumkan, menewaskan wakil tuan rumah, Anuntaya Nyompan, dengan keputusan 104–88 pada hari terakhir pertandingan pencak silat.

Atlet berusia 22 tahun dari Miri,Sarawak itu, mengakui tidak mempunyai sebarang latar belakang silat sebelum mencuba sukan berkenaan, dua tahun lalu.

“Disiplin serta latihan intensif sehingga enam jam sehari membantu saya melonjak daripada penyertaan pada kejohanan peringkat rendah ke pentas Sukan SEA.

“Sebelum ini saya hanya bermain futsal dan tiada langsung asas silat sebelum menyertai kelab silat Gayong Ghaib di kampung dan minat itu mula berkembang.

“Latihan berterusan di bawah bimbingan jurulatih, Siti Rahmah Mohamed Nasir, membawa saya berjaya ke tahap ini,”katanya.