Sukan SEA 2025: Skuad gimrama negara masuki fasa akhir persiapan

KUALA LUMPUR, 8 November – Skuad gimnastik negara kini berada dalam fasa terakhir persiapan menjelang Sukan SEA Thailand 2025 dengan penyertaan dalam Kejohanan Jemputan Rusia di China yang dianggap sebagai platform terbesar sebelum temasya sebenar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Skuad berkumpulan latihan di Jepun sebelum berlepas ke Beijing untuk menyertai Kejohanan Jemputan Rusia di China.
  • Petrina Cup 2025 di SPICE Arena akan jadi gelanggang percubaan akhir selepas pulang dari China.
  • Pertandingan individu Petrina Cup menilai prestasi tiga gimnas yang disenarai pendek untuk pemilihan akhir.
  • Pasukan berkumpulan perlu lengkapkan dua rutin (lima reben; tiga bola dan dua gelung) sebelum penyenaraian rasmi.

Naib Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Petrina Low berkata pasukan berkumpulan ketika ini menjalani latihan di Jepun sebelum berlepas ke Beijing pada 10 November bagi menyertai kejohanan berprestij yang turut disertai pasukan ternama dunia.

“Mereka akan beraksi menentang pasukan-pasukan terbaik dari Rusia. Kami tidak meletakkan sebarang tekanan, yang penting mereka berikan persembahan terbaik kerana ini pendedahan paling bermakna sebelum ke Sukan SEA,” katanya kepada pemberita, di sini.

0811 SKN PERSIAPAN AKHIR GIMRAMA 2Naib Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Petrina Low/RTM

Petrina menjelaskan kejohanan tersebut menjadi ujian terakhir sebelum skuad kembali ke tanah air untuk menyertai 2nd Petrina Cup 2025 di SPICE Arena, Pulau Pinang, dari 18 hingga 23 November.

“Boleh dikatakan ini fasa terakhir. Selepas pulang dari China, mereka terus ke Petrina Cup sebagai gelanggang percubaan untuk pasukan negara,” jelasnya.

Beliau berkata, edisi Petrina Cup kali ini hanya akan melibatkan acara individu bagi menilai prestasi tiga gimnas yang disenarai pendek.

“Semasa Petrina Cup, kami akan menilai semula rutin dan strategi pasukan individu, termasuk susunan persembahan mengikut kemampuan serta tahap kesediaan gimnas,” ujarnya.

Tambahnya, Presiden Jawatankuasa Teknikal Gimnastik Antarabangsa, Noha Abou Shabana turut hadir sepanjang kejohanan itu bagi membantu memuktamadkan rutin rasmi pasukan negara.

Sementara itu, pasukan berkumpulan yang terdiri daripada enam gimnas akan melengkapkan dua rutin iaitu lima reben serta gabungan tiga bola dan dua gelung, sebelum disenaraikan secara rasmi ke Sukan SEA Thailand.

Kejohanan Petrina Cup 2025, yang disokong Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta dianjurkan di bawah Persatuan Gimnastik Kuala Lumpur, menghimpunkan lebih 700 gimnas dari 15 negara dan menjadi penutup rasmi persiapan skuad negara sebelum berlepas ke Sukan SEA 2025.