Sukan SEA 2025: Rachel hadiahkan emas pertama gimnastik untuk negara

KUALA LUMPUR, 11 Disember – Gimnas negara , Rachel Yeoh menghadiahkan emas pertama gimnastik untuk Malaysia selepas memenangi acara palang bertingkat wanita hari ini.

Saingan yang berlangsung di Gimnasium Universiti Thammasat Rangsit itu menyaksikan gimnas negara mengumpul 13.300 mata , sekali gus mengatasi pencabarnya dari Filipina, Haylee Garcia yang meraih 12.233 mata dan wakil Singapura, Colleen Hong dengan 11.067 mata jauh di belakang.

Kejayaan itu menjadi emas ketiga Malaysia pada Sukan SEA Thailand.

Gimnas negara berusia 26 tahun itu pernah merangkul emas sama pada Sukan Sea Hanoi 2022 namun tidak berpeluang mempertahankannya apabila acara artistik wanita digugurkan pada edisi Kemboja 2023.