KUALA LUMPUR, 5 Disember – Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menetapkan sasaran tinggi apabila mahu skuad lelaki negara memecahkan dominasi Thailand dalam misi memburu dua pingat emas pada Sukan SEA 2025 di Thailand dari 9 hingga 20 Disember.
Presidennya, Datuk Mohd Sumali Reduan, berkata rekod terdahulu membuktikan Malaysia berupaya menumbangkan musuh tradisi itu dalam kejohanan besar seperti Piala Dunia dan Piala Asia, sekali gus menjadikan sasaran mengatasi tuan rumah bukan sesuatu yang mustahil.
“Di Sukan SEA kali ini, sasaran kita adalah pingat emas dan menewaskan Thailand. Ia bukan mustahil kerana sejarah membuktikan bahawa dalam acara regu, kita pernah menumpaskan mereka dan muncul juara di Piala Dunia, Piala Asia termasuk acara quadrant,” katanya.
Beliau menyatakan perkara berkenaan pada Majlis Perjumpaan dan Makan Malam Pemain Sepak Takraw Kebangsaan Ke Sukan SEA 2025 malam tadi.
PSM menyasarkan dua emas menerusi acara regu lelaki dan quadrant lelaki, selain meletakkan harapan agar skuad negara mara ke final regu berpasukan lelaki pada aksi di Gimnasium Stadium Nakhon Pathom.
Mengulas penjadualan baharu yang meletakkan regu berpasukan sebagai acara pembuka pingat, beliau tidak menolak ia mungkin strategi atau permainan psikologi pihak tuan rumah.
Namun, perubahan itu dilihat turut memberi ruang motivasi tambahan kepada pemain negara.
“Jika kita dapat memecahkan tembok besar Thailand dalam acara pertama, saya yakin acara lain juga akan memihak kepada kita,” ujarnya.
Pada Sukan SEA 2023 di Kemboja, Malaysia meraih empat perak dan empat gangsa, memperbaiki pencapaian edisi 2021 di Hanoi serta edisi 2019 di Filipina.
Kali terakhir skuad negara meraih emas ialah pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur menerusi acara regu lelaki.

