Sukan SEA 2025: Kontinjen negara tambah deretan pingat emas hari ini

KUALA LUMPUR, 17 Disember – Kontinjen Malaysia teruskan menceriakan kempen di Sukan SEA Thailand hari ini apabila menambah deretan pingat emas menerusi pelbagai sukan, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara dalam carta pungutan pingat.

Kem silat menyumbang dua emas menerusi Muhammad Izzul Irfan dalam Kelas D Putra selepas bantahan rasmi kem negara diterima juri, menyaksikan keputusan berpihak kepadanya dengan kemenangan 57-50 ke atas pesilat tuan rumah, Peerapon Mitasarn.

Ummi Mashitah pula menampilkan aksi meyakinkan untuk menjuarai Kelas C wanita selepas menewaskan Anuntaya Niyompan 104-88 di final.

Dalam muay thai, atlet muda sensasi Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar (Miki) meraih emas kategori bawah 55 kilogram selepas menewaskan wakil Thailand, Sirilun Suphakon 29-28 di Stadium Tinju Lumpinee.

Sementara itu, Yan Jia Chi menghadiahkan satu lagi emas buat negara dalam acara wai kru apabila menewaskan juara dunia Thailand, Thongduang Thanawan, dengan keputusan 9.33 mata berbanding 9.20.

Malaysia turut mencatat kejayaan dalam skuasy apabila gandingan Harith Danial Jefri dan K Sehveetrraa menjuarai acara beregu campuran jumbo bawah 21 tahun dengan kemenangan straight set 11-5, 11-2 ke atas pasangan pilihan utama dari Filipina.

Dalam acara menembak, penembak muda Gan Chen Jie mencipta sensasi apabila meraih emas acara rifle 50 meter tiga posisi wanita dengan catatan 451.7 mata, sekali gus memadam rekod Sukan SEA lama.

Skuad kriket negara pula menutup kempen dengan cemerlang apabila menjuarai acara Twenty10 selepas menewaskan Indonesia, melengkapkan kejayaan berganda selepas emas Twenty20 minggu lalu. Dominasi turut diteruskan oleh skuad bola jaring yang meraih hatrik emas Sukan SEA selepas menewaskan Singapura 52-49.

Tirai hari ini ditutup dengan kejayaan skuad wanita Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) menundukkan Filipina 4-3 pada aksi final sekali gus menjadikan kutipan keseluruhan negara 40 pingat emas dan 191 pingat keseluruhan setakat ini.