BANGKOK, 14 Disember – Atlet angkat berat kebangsaan, Mohamad Aniq Kasdan, terlepas peluang menaiki podium apabila menamatkan saingan di kedudukan keempat acara 60 kilogram lelaki pada Sukan SEA Thailand 2025, pada Sabtu.
Peserta program Road to Gold (RTG) itu mencatat jumlah angkatan keseluruhan 285 kilogram, hasil 125 kilogram dalam acara snatch dan 160 kilogram dalam clean and jerk, dalam saingan melibatkan enam atlet di Sekolah Sukan Chonburi di sini.
Pingat emas dimenangi wakil tuan rumah, Theerapong Silachai, yang mencatat jumlah angkatan 304 kilogram, diikuti atlet Indonesia, Ricko Saputra, dengan 295 kilogram untuk perak.
Pingat gangsa pula menjadi milik atlet Vietnam, Doung K, selepas mengumpul jumlah angkatan 289 kilogram.
Keputusan itu menyaksikan kemarau pingat emas angkat berat Malaysia di Sukan SEA berlanjutan, dengan kali terakhir emas diraih pada edisi 2005 di Filipina menerusi Che Mod Azrol Che Mat dalam kategori 105 kilogram ke atas.
Untuk rekod, saingan angkat berat Sukan SEA Thailand 2025 bermula semalam dan dijadual berlangsung hingga Rabu depan.

