MADRID, 3 Disember – Sepanyol mengekalkan kejuaraan Liga Negara-Negara Wanita Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dengan kemenangan 3-0 ke atas Jerman pada aksi final kedua, Selasa (2 Disember), selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada perlawanan pertama di Kaiserslautern, Jumaat lalu.
Jerman menguasai perlawanan pertama dengan beberapa peluang terhidang, namun gagal memanfaatkannya. Situasi berubah sepenuhnya di Madrid apabila Sepanyol memulakan perlawanan dengan lebih agresif, namun percubaan awal mereka tetap dinafikan penjaga gol Jerman, Ann-Katrin Berger.
Selepas lebih 150 minit tanpa jaringan dalam dua perlawanan, Pemain depan Sepanyol, Claudia Pina akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-61 apabila barisan pertahanan Jerman melakukan kesilapan.
Dikawal rapat Giulia Gwinn, Pina memotong dari bahagian kiri sebelum melorongkan bola kepada Esther Gonzalez. Ketika pertahanan Jerman terleka seketika, Pina memanfaatkan ruang untuk melepaskan rembatan mengatasi Berger walaupun penjaga gol itu sempat menampan bola.
Tujuh minit kemudian, Vicky Lopez menggandakan kedudukan dari situasi hampir sama, kali ini dari kanan sebelum melepaskan rembatan melengkung melepasi jangkauan Berger.
Pina melengkapkan sepakan kedua pada minit ke-74 apabila menguasai bola di tengah padang, melakukan larian solo dan melakukan rembatan padu yang tidak mampu diselamatkan Berger.
Ia sekali gus memastikan Sepanyol mempertahankan gelaran yang dimenangi mereka menentang Perancis pada edisi sulung kejohanan itu pada 2024.
Jurulatih Sepanyol, Sonia Bermudez, melahirkan penghargaan kepada penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan itu.
“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada penyokong. Kami benar-benar merasai sokongan mereka. Stadium ini mempunyai aura istimewa. Saya pernah bermain di sini dan saya menghargai sokongan yang diberikan. Kemenangan ini adalah hadiah untuk mereka yang sentiasa memberi segalanya untuk kami,” kata beliau.
Bermudez menambah bahawa Jerman turut memberi saingan sengit pada perlawanan kali ini, namun aksi pemain berjaya memenangi perlawanan.
“Jerman lawan yang sukar. Hari ini pasukan kami lebih teratur, berjaya menyekat transisi mereka dan lebih baik dalam memberi tekanan. Kami akan meraikan kemenangan ini dahulu, dan selepas Februari barulah kami fokus kepada kelayakan Piala Dunia. Kami perlu layak terlebih dahulu,” ujarnya.
Sementara itu Jurulatih Jerman, Christian Wueck, turut mengucapkan tahniah kepada pasukan Sepanyol dan memberi pujian kepada pasukan lawan.
“Pertama sekali, tahniah kepada Sepanyol atas kemenangan yang layak. Pada perlawanan kedua, kami gagal mencapai tahap permainan untuk menyaingi mereka. Kemenangan ini memang milik Sepanyol,” katanya.
Beliau menambah bahawa pemain Jerman sudah mencapai had fizikal selepas aksi pertama dan pemain gantian tidak dapat memberikan impak yang diharapkan.
“Di Kaiserslautern, kami berjaya beraksi dengan intensiti tinggi sehingga minit akhir. Namun pada perlawanan kedua, kami mencapai had fizikal selepas aksi yang menguras tenaga. Malah, pemain gantian juga tidak mampu memberikan impak yang diharapkan. Berdasarkan aksi kedua ini, kemenangan jelas milik Sepanyol,” jelas Wueck.

