Sepanyol, Jerman mara ke separuh akhir Piala Davis

BOLOGNA, 21 November – Sepanyol melangkah ke separuh akhir Piala Davis selepas menewaskan Republik Czech dalam pertarungan sengit di Bologna, awal pagi Khamis.

Tanpa bintang utama Carlos Alcaraz yang menarik diri pada saat akhir akibat kecederaan, Sepanyol pada awalnya ketinggalan apabila Jakub Mensik memastikan mata pertama buat Czech dengan kemenangan 7-5, 6-4 ke atas Pablo Carreno Busta.

Namun, Sepanyol bangkit menerusi Jaume Munar yang memperagakan aksi cemerlang untuk menundukkan Jiri Lehecka 6-3, 6-4 sekali gus mengheret perlawanan ke aksi penentuan beregu.

Kapten Czech, Tomas Berdych kemudian membuat pertukaran dengan menurunkan Mensik bersama Tomas Machac, tetapi strategi itu tidak berhasil. Pasangan Sepanyol, Marcel Granollers dan Pedro Martinez mencuri kemenangan tipis 7-6(8), 7-6(8) untuk mengesahkan tiket separuh akhir.

Sementara itu, Jerman turut mengesahkan slot separuh akhir selepas bangkit daripada kekalahan perlawanan pembukaan untuk menumpaskan Argentina 2-1.

Argentina bermula garang melalui Tomas Etcheverry yang melepaskan 23 ace untuk menumpaskan Jan-Lennart Struff dalam straight sets. Namun Jerman mengikat kedudukan apabila pemain nombor tiga dunia, Alexander Zverev mengatasi Francisco Cerundolo 6-4, 7-6(3).

Aksi penentuan beregu berlangsung hampir dua setengah jam dengan penuh dramatik. Pasangan Argentina, Horacio Zeballos dan Andres Molteni menyelamatkan empat mata kemenangan tetapi turut mensia-siakan dua peluang sebelum Kevin Krawietz dan Tim Puetz memastikan kemenangan Jerman 4-6, 6-4, 7-6(10).

Jerman kini menempah pertemuan dengan Sepanyol di separuh akhir di Bologna.-REUTERS