SEA 2025: Hoki lelaki mengganas di Chonburi, tewaskan Myanmar 21-1

BANGKOK, 12 Disember – Skuad hoki lelaki kebangsaan memulakan kempen Sukan SEA Thailand 2025 dengan bergaya selepas membelasah Myanmar 21-1 pada aksi pertama Kumpulan A di Universiti Sukan Kebangsaan di Chonburi, hari ini.

Pada pertembungan itu, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal muncul pemain paling menyerlah apabila menyumbat tujuh gol termasuk dua jaringan pukulan sudut penalti.

Turut mencuri tumpuan penampilan Syed Mohammad Syafiq Syed Cholan yang meledak empat gol termasuk satu gol pukulan sudut penalti selain hatrik yang dicipta Norsyafiq Sumantri.

Muhajir Abdu Rauf dan Mohd Fitri Saari masing-masing menyumbat dua gol, sementara Amanraj Singh, Alfarico Lance Liau Jr dan Shello Silverius turut mencetak nama sebagai penjaring selepas masing-masing meledak satu gol.

Sementara itu, gol sagu hati Myanmar dijaringkan Oo Thein Htike menerusi penalti stroke.

“Kita berada di sini untuk memenangi pertandingan ini, jadi kita sepatutnya tiada masalah untuk menampilkan permainan terbaik dan mengambil peluang yang ada,” kata ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Sarjit Singh selepas perlawanan menerusi video klip yang dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Malaysia akan membuat perhitungan menentang Indonesia pada aksi kedua, esok.- BERNAMA