LONDON, 14 Disember – Bintang Reds, Mohamed Salah memainkan peranan penting dalam kemenangan pasukan itu terhadap Brighton Albion pada Sabtu.
Penyerang Mesir itu, dimasukkan pada separuh masa pertama susulan kecederaan Joe Gomez.
Kehadirannya disambut sorakan gemuruh penyokong tuan rumah.
Kemasukan Salah berjaya menajamkan jentera serangan Liverpool.
Hasilnya, Liverpool berjaya menambahkan gol kedua menerusi tandukan Hugo Ekitiki pada minit ke-60 hasil sepakan sudut Salah.
Liverpool sebelum itu berjaya memecahkan jaringan menerusi gol pantas menerusi Ekitiki pada minit pertama permainan.
Sumbangan itu menyaksikan Salah kini terlibat dalam 277 gol Liga Perdana Inggeris bersama Liverpool. 188 gol dan 89 bantuan gol.
Kejayaan itu sekali gus mencipta rekod baharu bagi penglibatan gol terbanyak oleh seorang pemain bersama satu kelab, memintas rekod Wayne Rooney bersama Manchester United.
Kemenangan itu menandakan perubahan ketara suasana sekeliling Salah selepas beliau minggu lalu mendakwa Liverpool “mengorbankannya” apabila diletakkan di bangku simpanan dalam keputusan seri 3-3 menentang Leeds.
Ia merupakan perlawanan ketiga berturut-turut Salah bermula sebagai pemain gantian.
Pemain berusia 33 tahun itu turut mendakwa tidak mempunyai hubungan baik dengan pengurus Arne Slot, sebelum digugurkan daripada skuad Liga Juara Eropah ke Inter Milan yang dimenangi Liverpool 1-0.
Sementara itu, pengurus Liverpool, Arne Slot menegaskan tiada isu besar antara beliau dan Salah.
“Bagi saya, dia sama seperti pemain lain,” kata Slot.
“Anda berbincang dengan pemain jika gembira atau tidak, tetapi tiada apa yang perlu dibincangkan selepas perlawanan menentang Leeds”, jelas Slot.
Salah akan menyertai skuad kebangsaan Mesir untuk Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) di Maghribi dan berpotensi terlepas aksi bersama Liverpool sehingga lima minggu.
Kemenangan 2-0 itu merupakan kemenangan pertama Liverpool di Anfield sejak 4 November lepas dan melonjakkan pasukan kendalian Slot itu ke tangga keenam liga. – AFP

