RTM juara “Strike and Connect with HASiL Bersama Media”

KUALA LUMPUR, 17 Disember – Radio Televisyen Malaysia (RTM) mencatat kejayaan membanggakan apabila muncul juara bagi kedua-dua kategori lelaki dan wanita dalam program “Strike and Connect with HASiL Bersama Media” yang dianjurkan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL).

Bagi kategori lelaki, kemenangan menjadi milik Ahmad Wafiy Azmi, manakala Nor Aishah Abdul Razak dinobatkan juara bagi kategori wanita, sekali gus mengharumkan nama RTM dalam program sukan santai yang menghimpunkan rakan media dan warga HASiL itu.

Program tersebut dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada rakan media yang sentiasa bekerjasama dengan HASiL dalam meningkatkan kesedaran awam terhadap pematuhan cukai serta mengurangkan ketirisan hasil negara.

Menurut Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) Datuk Abu Tariq Jamaluddin, kerjasama erat dengan media amat penting dalam memastikan mesej berkaitan tanggungjawab pembayar cukai dapat disampaikan secara berterusan dan berkesan kepada masyarakat.

Beliau berkata, kejayaan kutipan cukai negara pada tahun ini berada pada landasan terbaik, hasil sokongan dan peranan aktif rakan media dalam menyebarkan maklumat percukaian.

Selain mengeratkan hubungan strategik, program ini turut menjadi platform memperkukuh jalinan kerjasama dua hala antara HASiL dan pengamal media dalam suasana santai dan harmoni.