Regatta Bintulu 2025 tarik penyertaan 17 pasukan

BINTULU, 5 Disember – 17 pasukan perahu kayuh dari seluruh Sarawak mengambil bahagian dalam Regatta Bintulu 2025 yang berlangsung di Tebingan Bintulu, bermula hari ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee, regatta anjuran Pejabat Daerah Bintulu dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), mampu jadi tarikan pelancong sekali gus merancakkan ekonomi masyarakat setempat.

“Regatta 2025 berjaya menarik penyertaan sebanyak 17 pasukan, termasuk peserta dari Ulu Belaga serta kawasan sekitar Bintulu, ” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelepasan perahu kayuh bersempena Regatta Bintulu 2025 di Bintulu.

Dalam pada itu, Ketua Pasukan Cahaya Puteri Wanang Sari, Mohd Azizi Zainudin, dan Pengusnya, Napi Yasan. Menurut mereka, Regatta Bintulu mengembalikan kemeriahan pesta tradisi itu selepas sekian lama tidak dianjurkan.

“Terima kasih kepada penganjur dan semua pihak yang terlibat. Penganjuran kali ini amat bermakna memandangkan kali terakhir regatta diadakan adalah pada tahun 2012, iaitu kira-kira 13 tahun lalu sebelum dianjurkan semula pada 2025. Kami berharap sukan tradisi ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” kata Mohd Azizi.

“Sangat gembira la, dengan penganjuran semula Regatta Bintulu. Kami cukup berpuas hati dengan penganjuran kali ini. Saya berharap tradisi ini dapat diteruskan, ” kata Napi.

Regatta Bintulu 2025 dijangka terus menjadi platform mengangkat tradisi sukan air masyarakat Sarawak serta menggalakkan penglibatan generasi muda dalam aktiviti kebudayaan dan komuniti.