SYDNEY, 4 Disember – Kapten All Blacks, Scott Barrett menegaskan mereka tidak gentar kemungkinan bertembung Afrika Selatan pada suku akhir Piala Dunia Ragbi 2027.
Menurutnya, New Zealand sentiasa bersedia menghadapi mana-mana lawan yang berpotensi memberi cabaran hebat.
“Itulah keindahan Piala Dunia, anda perlu berada pada tahap prestasi terbaik pada masa yang tepat,” katanya.
Kedua-dua pasukan dijangka bertembung jika masing-masing menjuarai kumpulan dan melepasi pusingan 16.
Undian di Sydney menyaksikan Springboks diletakkan bersama Itali, Georgia dan Romania, manakala New Zealand satu kumpulan dengan Australia, Chile dan Hong Kong.
Afrika Selatan kendalian Rassie Erasmus kekal pilihan utama selepas melalui tahun cemerlang dan menang tipis ke atas All Blacks pada perlawanan akhir 2023.
Namun beliau menegaskan mereka tidak boleh memandang rendah mana-mana lawan.
“Kami berpuas hati dengan undian kumpulan, tetapi ini adalah Piala Dunia dan setiap pasukan akan beraksi dengan penuh semangat serta berusaha sedaya upaya untuk mewakili negara mereka dengan bangga,” kata Erasmus.
Sementara itu, jurulatih New Zealand Scott Robertson berkata, potensi pertemuan suku akhir menentang Springboks hanya akan menjadi satu lagi peluang untuk menunjukkan kemampuan sebenar.
“Apabila menyertai Piala Dunia, anda terpaksa berdepan dengan pasukan yang berada pada prestasi terbaik dan kami sedia menyahut cabaran itu,” tegasnya.
New Zealand perlu menewaskan Australia untuk menguasai kumpulan, dengan pertemuan itu berpotensi menjadi aksi pembukaan di Stadium Perth.
Piala Dunia Ragbi 2027 berlangsung dari 1 Oktober hingga 13 November dengan jadual penuh akan diumumkan pada 3 Februari.

