Piala Dunia 2026: FIFA umum tiket bernilai $60 untuk ‘peminat setia’

PARIS, 17 Disember – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan kategori tiket lebih murah pada Selasa, susulan kritikan berterusan terhadap harga tiket bagi Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico.

Dalam satu kenyataan rasmi, FIFA memaklumkan telah mewujudkan ‘Supporter Entry Tier’, iaitu kategori tiket rasmi yang diperkenalkan oleh FIFA untuk peminat setia pasukan kebangsaan.

Tiket ini dijual pada harga $60 USD (51 euro) setiap satu dan tersedia untuk kesemua 104 perlawanan termasuk perlawanan akhir.

Bagaimanapun, kumpulan peminat Football Supporters Europe (FSE) menyifatkan pengumuman itu sebagai terlalu sedikit.

Menurut FSE, harga asal hampir lima kali ganda lebih tinggi berbanding Piala Dunia 2022 di Qatar, dan pengumuman FIFA kini dilihat sekadar langkah meredakan kemarahan global.

“Berdasarkan peruntukan yang tersedia secara awam, hanya beberapa ratus peminat setiap perlawanan dan pasukan berpeluang menikmati harga $60, manakala majoriti masih terpaksa membayar harga tinggi,” kata FSE.

Organisasi itu turut mengkritik kegagalan menyediakan kemudahan bagi peminat dalam kalangan orang kurang upaya dan pengiring mereka.

FIFA dalam pada itu menegaskan bahawa persekutuan kebangsaan diminta memastikan tiket ini dikhaskan kepada peminat setia yang mempunyai hubungan rapat dengan pasukan kebangsaan mereka.

Malah, jika peminat membeli tiket untuk pusingan kalah mati dan pasukan mereka tersingkir lebih awal, yuran pentadbiran akan dikecualikan semasa pemprosesan bayaran balik.

Pengumuman tiket bernilai $60 itu dibuat di tengah permintaan luar biasa untuk tiket, dengan 20 juta permintaan telah diterima.

Undian bagi tiket semua kategori dalam pusingan jualan pertama dijadualkan pada Selasa, 13 Januari 2026.- AFP