KUALA LUMPUR, 11 September– Skuad hoki wanita kebangsaan berjaya mencatat kemenangan kedua selepas mengatasi Thailand 6-2 pada perlawanan kedua peringkat klasifikasi tempat kelima hingga kelapan Piala Asia Wanita 2025 di Hangzhou, China, hari ini.
Malaysia bermula garang apabila mendahului 2-0 menerusi Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin dan Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad yang menyempurnakan pukulan sudut penalti, masing-masing pada minit keenam dan minit ke-21.
Ketinggalan dua gol, Thailand bangkit merapatkan jurang dengan memanfaatkan pukulan sudut penalti yang disempurnakan Supansa Samanso pada minit ke-28.
Semangat Malaysian Tigress kekal utuh apabila tidak menunggu lama untuk menambah jaringan hasil penyudah Nuramirah Shakirah Zulkifli pada minit ke-30 sebelum Azmyra Mia Sofea Azhari melebarkan kedudukan buat Malaysia lima minit berselang.
Thailand sekali lagi berjaya menembusi gawang pasukan negara apabila Supansa menyempurnakan penalti strok pada minit ke-42.
Bagaimanapun, Malaysia pantas menoktahi kemenangan apabila Nur Afiqah Syahzani Azhar meledak gol kelima pada minit ke-43 diikuti pukulan sudut penalti oleh Nuramirah Shakirah tiga minit kemudian.
Ketua jurulatih kebangsaan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berpuas hati dengan persembahan ditampilkan anak buahnya sambil berharap beberapa aspek penting dapat dibaiki menjelang aksi ketiga bertemu Taiwan pada Sabtu ini.
“Persembahan yang baik terutama apabila dari awal kita mencipta peluang dan menjaringkan enam gol, skor yang agak besar, walaupun kita lepaskan dua gol tapi kita masih boleh baiki kelemahan itu.
“Untuk aksi bertemu Taiwan kami akan membuat persiapan yang sama seperti bertemu Thailand. Beberapa perkara yang harus dilihat seperti penyudahan dan juga ketika bertahan, kita perlu perbaiknya,” katanya dalam klip video dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia hari ini.
Semalam, anak buah Mohd Nasihin memulakan saingan dengan kemenangan 5-1 ke atas Singapura.
Malaysia sebelum ini gagal menempatkan diri dalam kelompok dua pasukan terbaik untuk mara ke pusingan “Super 4s” selepas menamatkan saingan Kumpulan A di tempat ketiga dengan tiga mata.
Pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah kejohanan itu ialah tempat ketiga pada edisi sulung di Seoul, 1985. – BERNAMA

