Olympian Golf 2026-2030, platform lahirkan bakat bertaraf antarabangsa

KUALA LUMPUR, 13 Disember– Pelan Pembangunan Olympian Golf 2026-2030 bukan hanya berupaya menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat tempatan, malah turut menyokong pertumbuhan sektor pelancongan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Olympia Education, Datuk Seri Abdul Rani Osman menyasarkan lebih ramai pemain tempatan memilih bermain di padang golf dalam negara yang terkenal dengan keindahan dan kualitinya, berbanding ke luar negara.

‘Kalau kita lihat pada hari ini, ramai pemain atau peserta golf memilih untuk bermain di luar negara. Jadi, hasrat kita adalah supaya mereka turut bermain di dalam negara, memanfaatkan padang-padang golf tempatan yang sememangnya cantik dan berkualiti.

Pada masa sama, kita juga mahu menarik pemain dari luar negara serta pelajar antarabangsa untuk datang bermain di Malaysia. Inisiatif ini selari dengan agenda Majlis Sukan Negara (MSN) dan juga dasar kerajaan pada masa kini, khususnya dalam usaha membangunkan industri sukan dan pelancongan negara,” kata Datuk Seri Abdul Rani kepada pemberita RTM.

Beliau ditemui selepas menjadi tetamu dalam Rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM), hari ini.

Pelan tersebut juga turut merangkumi pembentukan karakter dan persediaan mental pemain, selaras matlamat melahirkan bakat bertaraf antarabangsa.

Selain itu, Olympian Golf juga giat menganjurkan klinik golf di sekolah-sekolah, kolej, universiti serta beberapa organisasi korporat sebagai usaha mengenal pasti bakat baharu.

Katanya, Inisiatif Olympian Komuniti turut diwujudkan bagi memastikan peluang bermain golf terbuka kepada semua tanpa mengira agama, bangsa atau latar belakang dan tidak hanya terhad kepada golongan tertentu.