Munoz hargai sokongan TMJ

KUALA LUMPUR, 15 Disember – Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mengucapkan penghargaan kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) yang juga pemilik JDT, atas sokongan dan komitmen berterusan terhadap pasukan, susulan kejayaan menjuarai Piala FA buat kali keempat berturut-turut.

“Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada bos kerana memberikan yang terbaik setiap hari, sentiasa berusaha dengan cita-cita besar dan bekerja dengan baik untuk satu langkah ke hadapan.

“Selepas itu, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada para pemain. Kami telah berbincang sebelum ini, saya berbangga dengan mereka kerana mereka berlatih setiap hari dengan tekun dan berusaha menunjukkan kecemerlangan dalam semua perlawanan,” kata Munoz pada sidang media selepas perlawanan. Ini merupakan trofi Piala FA kelima JDT.

Sementara itu, ketua jurulatih Sabah FC, Daniel Jean-Paul De Marigny, mengulas jaringan Ajdin Mujagic pada minit ke-26 yang dibatalkan selepas semakan VAR, menyifatkan keputusan itu agak pelik kerana pemain tersebut berada di hadapan pertahanan.

“Saya sebenarnya tidak begitu suka bercakap mengenai pengadil kerana ia kerja yang sukar. Namun, dari sudut pandangan saya, kedua-dua situasi itu agak pelik. Kami menjaringkan gol yang cantik tetapi ia dibatalkan, dan itu membuatkan saya sedikit sedih, terutama untuk pemain tersebut.

“Kejadian kedua juga agak pelik kerana pemain berada di hadapan pertahanan. Bagi saya, sepatutnya kad kuning diberikan kepada pihak lawan tetapi tidak berlaku. Jadi, terpulanglah pada keputusan yang dibuat,” katanya.

Daniel menegaskan dia tidak perlu memberi motivasi tambahan kerana prestasi pemain sudah menunjukkan komitmen dan semangat juang tinggi.

“Mereka mewakili Sabah dengan penuh semangat dan keinginan yang tinggi,” ujarnya.

Daniel turut memuji pasukannya yang terus bersaing walaupun terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas tonggak tengah mereka, Miguel Cifuentes, dilayangkan kad merah akibat kesalahan terhadap pemain JDT.