KUALA LUMPUR, 17 Disember – Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali meneruskan komitmennya dalam pembangunan bola sepak akar umbi menerusi penganjuran MommyHana Safee Sali Superkids Cup 2025 yang dijadual berlangsung pada 27 Disember ini di Stadium MPAJ, Pandan Perdana.
Kejohanan edisi pertama tersebut dianjurkan dengan konsep karnival keluarga dan menjadi platform kepada kanak-kanak untuk belajar, bersaing serta menikmati bola sepak dalam suasana yang menyeronokkan.
Menurut Safee, kolaborasi bersama syarikat jenama produk kanak-kanak itu tercetus daripada keserasian visi dalam memperkasa pembangunan kanak-kanak di peringkat komuniti.
“Alhamdulillah, niat saya untuk kembali mencurahkan ilmu kepada akar umbi dan komuniti seiring dengan sasaran MommyHana. Dari situ terjalin kerjasama untuk memberi fokus kepada pembangunan akar umbi,” kata beliau ketika ditemui di sini, hari ini.
Tambahnya, 32 pasukan mengesahkan penyertaan, melibatkan empat kategori umur iaitu Bawah 8, Bawah 10, Bawah 12 dan Bawah 14 tahun, dengan lapan pasukan bagi setiap kategori, selain beberapa pasukan lain kini berada dalam senarai menunggu.
“Semua slot sudah penuh dan masih ada pasukan dalam senarai menunggu.Kita mahu pastikan hanya pasukan yang benar-benar komited mengambil bahagian,” katanya.
Safee turut menjelaskan penganjuran kali ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan Piala Super Safee Serenia.
Kejohanan itu dijangka menarik kehadiran lebih 2000 pengunjung pada satu-satu masa, sekali gus menghidupkan suasana karnival bola sepak, dengan jumlah keseluruhan hadiah bernilai kira-kira RM5,200, termasuk piala, pingat, anugerah MVP dan baucar wang tunai.

