FLORIDA, 10 Disember– Lionel Messi muncul sebagai pemain pertama dalam sejarah Major League Soccer (MLS) memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) untuk dua musim berturut-turut.
Musim gemilang itu turut menyaksikan beliau dinobatkan sebagai MVP MLS Cup selepas membawa Inter Miami menjulang kejuaraan liga pertama kelab tersebut.
Messi mencipta dua bantuan gol ketika Miami menewaskan Vancouver Whitecaps 3-1 pada aksi final MLS Cup di laman sendiri, Sabtu (6 Disember).
Pemenang Ballon d’Or lapan kali berusia 38 tahun itu menamatkan saingan playoff dengan rekod baharu, 15 sumbangan gol keseluruhan (enam gol, sembilan bantuan gol), jumlah terbanyak pernah dicatatkan dalam satu musim.
Beliau turut merekodkan sekurang-kurangnya satu gol atau bantuan gol dalam semua enam perlawanan playoff Miami, sekali gus memecahkan rekod sumbangan gol terbanyak dalam satu musim MLS.
Dengan 29 gol dan 19 bantuan gol, Messi hanya berbeza satu sumbangan gol daripada rekod liga sebanyak 49 yang dicatat legenda Los Angeles FC, Carlos Vela pada 2019.
Dengan penganugerahan terbaharu itu, Messi menyamai pencapaian pemain Serbia, Preki (1997, 2003 bersama Kansas City) sebagai satu-satunya pemain yang pernah memenangi anugerah MVP MLS sebanyak dua kali.

