HONG KONG, 7 Disember – Mesir mencatat kejayaan berganda di Kejohanan Terbuka Skuasy Hong Kong bertaraf Platinum selepas Mostafa Asal dan Nour ElSherbini masing-masing menjuarai kategori lelaki dan wanita, pada Ahad.
Dalam perlawanan akhir lelaki, pemain nombor satu dunia, Asal mempertahankan kejuaraannya apabila menewaskan rakan senegara, Youssef Ibrahim dalam straight set 11-6, 11-8, 11-6.
Kejayaan itu menjadikan Asal sebagai pemain kelima dalam sejarah kejohanan yang berjaya mempertahankan gelaran, selepas mengatasi Ibrahim yang merupakan pilihan kelapan kejohanan.
Dalam saingan wanita pula, ElSherbini menafikan hasrat pemain Amerika Syarikat, Olivia Weaver untuk menjulang gelaran selepas mencatat kemenangan straight set 11-5, 11-5, 11-7.
Kemenangan tersebut merupakan gelaran ke-45 dalam karier ElSherbini dan juga gelaran pertama beliau bagi musim 2025/2026 selaku juara dunia semasa, selepas mengatasi pemain pilihan keempat kejohanan itu.
Selepas ini, Jelajah Skuasy PSA akan beralih ke Karachi bagi Kejohanan Rich Venus Karachi Open 2026 bertaraf Gold yang dijadual berlangsung dari 6 hingga 11 Januari.-REUTERS

