Masters Kumamoto: Beregu wanita negara sah ke akhir

JEPUN, 15 November – Pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan, mengesahkan slot ke akhir Masters Kumamoto 2025 selepas menewaskan gandingan tuan rumah, Yuki Fukushima–Mayu Matsumoto, 24-22, 23-21, dalam aksi separuh akhir yang penuh dramatik.

Berlangsung di Gimnasium Wilayah Kumamoto, Pearly-Thinaah yang juga pilihan pertama hampir tersasar dalam set pertama selepas ketinggalan 18-20.

Namun, ketenangan pada saat genting serta ketajaman serangan membolehkan mereka bangkit meraih kemenangan 24-22.

Memasuki set kedua, pasangan negara tampil lebih meyakinkan dengan kawalan gelanggang yang agresif, mendahului 20-13.

Pasangan Jepun kemudiannya mempamerkan kebangkitan luar biasa, mengutip tujuh mata berturut-turut untuk mengikat 20-20, sekali gus mengheret aksi ke detik penamat yang mendebarkan.

Pearly–Thinaah memanfaatkan peluang pada mata-mata penting untuk menamatkan perlawanan 23-21, mengesahkan kemenangan selepas 57 minit permainan.

Kejayaan ini menjadikan Pearly -Thinaah mencatat lima kemenangan berturut-turut ke atas Fukushima-Matsumoto musim ini, selepas menewaskan mereka di Terbuka India, Masters Indonesia, Terbuka Singapura dan Terbuka China.

Pada aksi akhir esok, Pearly-Thinaah dijadual menentang satu lagi wakil tuan rumah, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi.