LISBON, 16 Disember – Kapten Manchester United, Bruno Fernandes, mendakwa kelab Liga Perdana Inggeris itu mahu menjualnya pada musim panas lalu susulan minat yang diterima daripada kelab Arab Saudi.
Bagaimanapun, pemain tengah berusia 31 tahun itu berkata pengurus Ruben Amorim masih menaruh kepercayaan kepadanya, sekali gus mendorongnya untuk kekal bersama skuad The Red Devils di Old Trafford.
“Keghairahan dan empati saya terhadap kelab masih sama, tetapi ada satu tahap di mana wang menjadi lebih penting bagi mereka berbanding anda.
“Kelab mahu saya pergi. Saya menyatakannya kepada pihak pengurusan dan saya fikir mereka tidak mempunyai keberanian untuk membuat keputusan itu kerana jurulatih mahukan saya.
“Tetapi jika saya yang menyatakan hasrat untuk pergi, walaupun jurulatih mahu saya kekal, kelab tetap akan melepaskan saya.” katanya.
Fernandes, yang telah menjaringkan 103 gol dalam 307 penampilan bersama Manchester United dalam semua pertandingan sejak menyertai kelab itu pada 2020, turut mengakui dia berasa tersinggung dengan kesediaan pihak pengurusan kelab untuk berpisah dengannya.
Dalam pada itu, beliau tidak menafikan pernah mempertimbangkan tawaran daripada Arab Saudi, seiring langkah yang diambil Cristiano Ronaldo pada 2023 selepas meninggalkan Old Trafford.-AFP

