SEPANG, 16 Disember – Pasukan Malaysia berjaya meraih tiga pingat emas dalam Global Horseback Archery Masters 2025 yang berlangsung pada 10 hingga 13 Disember lepas di Honghuashan Sports Centre, Shenzhen, China.
Dalam Kategori Junior, Abu Bakr Muhamad Akmal muncul sebagai juara dengan memenangi pingat emas, manakala, Muhammad Muhammad Akmal meraih pingat perak bagi Serial Format.
Sementara itu, Abdurrahman Ahmad Mu’az berjaya meraih pingat perak dan Muhammad Muhammad Akmal memenangi pingat gangsa bagi Hungarian Format.
Kejayaan pasukan diteruskan dalam acara Masahi Team Junior apabila pasukan Malaysia berjaya memenangi pingat emas, sekali gus mengatasi pencabar dari negara-negara lain.
Kecemerlangan atlet negara diteruskan dalam Kategori Terbuka apabila Abdurrahman Ahmad Mu’az sekali lagi mengharumkan nama Malaysia dengan memenangi pingat perak dalam Hungarian Format.
Seterusnya dalam Serial Format, Abu Bakr Muhamad Akmal menambah koleksi pingat negara dengan memenangi pingat gangsa.
Lebih membanggakan, pasukan Masahi Team Open Division Malaysia berjaya merangkul pingat emas, membuktikan kemampuan atlet negara bersaing di peringkat antarabnagsa.
”Bagi tahun 2026,kami pasukan pemanah berkuda junior negara berharap akan dapat meningkatkan prestasi kami untuk pertandingan pertandingan yang lebih berprestis di tahun 2026 antara sasaran kami adalah pertandingan bertaraf dunia di mongolia dan juga yang berlaku di tahun hujung tahun di china ini insya-allah,” katanya ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sebagai pengiktirafan terhadap prestasi keseluruhan yang cemerlang sepanjang kejohanan, Abu Bakr Muhamad Akmal dianugerahkan Persembahan Terbaik, sekali gus menonjolkan keunggulan beliau sebagai salah seorang atlet terbaik kejohanan.
Kejohanan berprestij tersebut telah mendapat pengiktirafan rasmi daripada World Horseback Archery Federation (WHAF) dan disertai oleh lebih 70 orang atlet dari pelbagai negara termasuk China, Kazakhstan, Turki, Iran, Iraq, Thailand, Indonesia, Mongolia, Korea dan Malaysia.
Delegasi Team Junior Malaysia diketuai oleh Jurulatih Muhamad Akmal Mohamad Dahalan dan Kapten Pasukan, Muhammad Muhammad Akmal.
Turut hadir sebagai wakil rasmi Malaysia Horseback Archery Federation ialah Mohd Nasrul Kamaruzzaman.

