SEPANG, 7 Disember – Aksi konsisten serta ketahanan jentera yang mantap membolehkan pasukan Malaysia kendalian Douglas Khoo bersama rakan sepasukan, Dominic Ang dan Melvin Moh menamatkan perlumbaan Michelin 12 Hours Sepang di kedudukan P3 bagi kelas GT3-AM, meskipun berdepan isu teknikal dan penalti masa.
Douglas ketika ditemui selepas tamat perlumbaan berkata cuaca panas selain beberapa masalah kecil pada kereta menjadikan perlumbaan tahun ini lebih mencabar.
“Perlumbaan agak mencabar kerana kami berdepan beberapa isu pada kereta, termasuk penalti masa. Kami sebenarnya berharap litar basah, tetapi keadaan hari ini sangat panas. Apa pun, menamatkan 12 jam perlumbaan ini sudah cukup menggembirakan,” katanya.
Douglas Khoo/Foto RTM
Viper Niza Racing yang memandu jentera Mercedes-AMG GT3 EVO menamatkan 311 pusingan dengan masa keseluruhan 12 jam 1 minit 8.815 saat, serta mencatat masa terpantas 2 minit 05.913 saat.
Mengulas lanjut mengenai isu jentera, Douglas menjelaskan bahawa ia berpunca daripada masalah kecil yang menyebabkan kehilangan masa berharga.
“Dua bolt tercabut sedikit, jadi kami terpaksa berhenti untuk perbaiki. Memang hilang masa, tapi itu sebahagian daripada perlumbaan ketahanan,” ujarnya.
Rakan sepasukan, Dominic, turut menyifatkan pencapaian keseluruhan pasukan sebagai memuaskan.
“Secara keseluruhan semua pemandu lakukan tugas dengan baik. Kalau bukan kerana isu kecil itu, kami mungkin boleh berada di P2 atau P1. Tetapi secara keseluruhan, ia tetap satu persembahan yang baik,” katanya.
Melvin, yang menjadi pemandu terakhir menamatkan perlumbaan berkata fokus utama mereka selepas masalah jentera adalah memastikan kereta mencapai garisan penamat.
Melvin Moh/Foto RTM
“Selepas masalah itu, matlamat kami hanyalah untuk habiskan perlumbaan dan lihat sejauh mana kami boleh pergi. Kereta sebelah pun ada isu, jadi kami cuba kejar, tapi satu pusingan terlalu singkat. Namun secara keseluruhan, kami berpuas hati dengan prestasi hujung minggu ini,” ujarnya.
Beliau turut berseloroh mengenai usaha mengekalkan kedudukan pada pusingan terakhir.
“Apa-apa posisi yang boleh dapat, kita tetap akan cuba. Tujuh tetap lebih baik daripada lapan,” katanya sambil ketawa.
Menutup musim dengan podium, Douglas menyifatkan tahun ini sebagai antara pencapaian terbaik pasukan.
“Musim ini sangat baik untuk kami. Bermula di Sepang 12, kami naik podium. Di Eropah pun kami raih dua hingga tiga podium. Kereta berfungsi dengan baik, pemandu bekerja keras, dan seluruh pasukan beri sokongan padu. Jadi, kami sangat berpuas hati dengan tahun ini,” katanya.
Dalam kategori GT3-AM, tempat pertama dimenangi Origine Motorsport dengan jentera Porsche 911 GT3 R (992) dipandu trio Hangcheng, Wei Yuan dan Hongli, mencatat masa keseluruhan 12 jam 53 saat.
Sementara itu, Continental Racing by Simpson Motorsport yang menggunakan Audi R8 LMS GT3 EVO II dipandu Vladykin, Bukhantsov, Ciosek dan Winslow meraih tempat kedua selepas menamatkan 317 pusingan dengan masa 12 jam 2 minit 10.956 saat.

