Kounde muncul wira berdepan Frankfurt, Barcelona fokus buru gelaran juara

BARCELONA, 10 Disember– Dua tandukan pantas Jules Kounde membantu Barcelona bangkit sebelum menewaskan Eintracht Frankfurt 2-1 dalam aksi Liga Juara-Juara di Camp Nou pada Selasa, sekali gus menghadiahkan kemenangan penting buat skuad Catalan itu.

Selepas seri dengan Club Brugge dan tewas kepada Chelsea, Barcelona kembali menemui rentak untuk naik ke tangga ke-14 saingan peringkat kumpulan, berkongsi 10 mata dengan beberapa pasukan lain ketika mereka memburu tempat lapan teratas bagi melayakkan diri secara langsung ke pusingan 16 terbaik.

Frankfurt pula kekal di tangga ke-30 dengan empat mata daripada enam perlawanan.

Frankfurt membuka jaringan pada minit ke-21 menerusi serangan balas yang disempurnakan Ansgar Knauff.

Namun, kesungguhan Barca membuahkan hasil apabila Kounde meledak dua gol pada babak kedua.

Pada minit ke-50, beliau menanduk masuk hantaran Marcus Rashford dari dalam kotak penalti, sebelum sekali lagi menewaskan penjaga gol tiga minit kemudian.

Gol kedua terhasil menerusi hantaran bintang muda kelab, Lamine Yamal dalam kawasan sesak dan berjaya menoktahkan kemenangan penting buat kelab gergasi Sepanyol itu.

Sementara itu, pengendali The Catalan, Hansi Flick berpuas hati dengan prestasi pasukan meski lambat mencetak jaringan pada perlawanan tersebut.

“Saya rasa kami mengawal perlawanan, tetapi pada separuh masa pertama kami tidak berada pada kedudukan yang sepatutnya, jadi kami ubah sedikit.”

“Selain itu, kehadiran Marcus (Rashford) di atas padang juga penting kerana dia mencipta ruang permainan. Ia sangat penting untuk meregangkan barisan pertahanan terakhir mereka,” kata Flick dalam sidang media selepas perlawanan. -REUTERS