KHM optimis skuad hoki negara raih enam pingat emas pada Sukan SEA 2027

KUALA LUMPUR, 11 Disember –Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) optimis skuad negara mampu meraih enam pingat emas apabila Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027, hasil pelaksanaan program pendedahan intensif melibatkan skuad lelaki dan wanita merangkumi pelbagai peringkat termasuk Bawah 18 Tahun (B-18).

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, berkata sasaran itu meliputi acara hoki padang lelaki dan wanita, hoki dalam dewan lelaki dan hoki 5s lelaki, manakala dua pingat perak disasarkan melalui hoki 5s wanita dan hoki dalam dewan wanita.

“Dalam dua tahun ini saya akan berjanji kita akan pastikan bahawa kita akan berikan saingan terbaik, kita akan berikan pendedahan yang terbaik dan pastikan dua tahun akan datang Malaysia akan mampu meraih enam pingat emas pada Sukan SEA di Malaysia nanti, tiada sebab kenapa kita tidak boleh dapat enam pingat emas” katanya pada sidang media KHM sempena Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) mengenai pasukan B-18 lelaki dan wanita di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil di sini hari ini.

Menurut Datuk Seri Subahan, pelan persiapan dua tahun itu merangkumi program pendedahan antarabangsa – termasuk misi skuad B-18 lelaki dan wanita ke Perth, Australia, diikuti siri perlawanan serta latihan tambahan di Afrika Selatan, Amsterdam dan New Zealand.

Beliau menegaskan kesinambungan pembangunan pemain menjadi tumpuan utama bagi memastikan barisan muda negara mencapai kematangan tepat pada waktunya.

Persiapan itu turut disokong oleh Majlis Sukan Negara (MSN) yang bersetuju menyalurkan bantuan kewangan bagi memastikan NHDP berjalan lancar hingga 2027.

Datuk Seri Subahan berkata pembangunan skuad wanita juga diperkukuh untuk merapatkan jurang dengan Thailand yang dianggap pencabar utama di peringkat serantau.

Mengulas prestasi semasa di Sukan SEA Thailand 2025, beliau menyifatkan kejayaan skuad hoki 5s lelaki menghadiahkan pingat emas pertama kontinjen selepas menewaskan Indonesia 7-3 dalam final sebagai pemangkin penting buat pembangunan hoki negara.

” Jadi bila kita buat ramalan dengan MSN pun kita sudah maklumkan bahawa sasaran kita pada Sukan SEA ini adalah empat pingat emas dan dua pingat perak, jadi kita memang sudah ramalkan pasukan 5s lelaki memang kuat dan tidak ada sebab kenapa mereka tidak boleh menang pingat emas kerana mereka ketika ini ranking dua di peringkat dunia,” jelasnya.

Bagaimanapun, skuad wanita tidak berjaya mengulangi pencapaian sama apabila tewas 1-7 kepada Thailand dalam aksi final, sekali gus membawa pulang pingat perak.