Kejohanan Malik Noor Enrich Klasik 2025 himpun lebih 330 atlet bina badan

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Kejohanan Malik Noor Enrich Klasik 2025, yang julung kali dianjurkan di Malaysia sebagai penghormatan kepada legenda bina badan negara, Datuk Malik Noor, berjaya menarik penyertaan lebih 330 atlet, sekali gus melepasi sasaran awal sebanyak 200 peserta.

Menariknya, hampir 120 daripada jumlah tersebut merupakan penyertaan baharu, menjadikan kejohanan ini sebagai platform penting untuk mencungkil bakat baharu dalam arena bina badan tempatan.

Menurut Presiden Persatuan Pengusaha Gimnasium Malaysia, Krishnakumar A/L Kalimuthu, penganjuran kategori khas ‘first timer’ atau pemula bertujuan membuka peluang kepada lebih ramai atlet baharu untuk menyertai sukan ini tanpa rasa gentar.

“Jika hanya kategori terbuka dianjurkan, ramai yang mungkin rasa kurang yakin kerana perlu bersaing dengan juara berpengalaman seperti Sazali Samad atau Datuk Malik Noor sendiri.

“Namun, dengan adanya kategori pemula ini, lebih ramai berani tampil buat kali pertama,” katanya.

Beliau turut optimis bahawa hampir 80 peratus daripada penyertaan baharu itu akan terus aktif dan meneruskan karier dalam bidang bina badan.

Sebanyak enam kategori dipertandingkan dalam kejohanan berprestij ini, yang dijangka dapat melahirkan lebih ramai bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa pada masa akan datang.