KBS peruntuk RM10 juta untuk Program Podium Para 2026

KUALA LUMPUR, 11 Disember – RM10 juta diperuntukkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi melaksanakan  Program Podium Para tahun depan.

Ia melibatkan komponen bantuan, penyertaan serta persiapan atlet menghadapi kejohanan dalam dan luar negara.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, peruntukan berkenaan bagi menyokong penyertaan atlet para dalam 36 kejohanan antarabangsa dan 34 kejohanan peringkat domestik sepanjang tahun akan datang, yang berada di bawah program berkenaan.

Tambahnya, trend semasa turut menunjukkan peningkatan ketara penyertaan atlet para dalam aktiviti sukan termasuk temasya Sukan Malaysia (SUKMA), yang memperlihatkan Sarawak menjadi contoh negeri yang giat melabur dalam pembangunan sukan berkenaan.

“Saya nak bagi contoh negeri Sarawak khasnya banyak melaburkan duit dalam aktiviti sukan para, dan berdasarkan rekod Para SUKMA 2024, sebanyak 1,265 atlet para bertanding mewakili seluruh negara dengan kontinjen tuan rumah mencatat penyertaan tertinggi iaitu melibatkan 213 atlet. Jadi berdasarkan perbandingan sukma  2022 dan 2024 ada  peningkatan 6.4 peratus atlet para yang mengambil bahagian,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Negara.