KBS perkukuh gerak kerja

PUTRAJAYA, 17 Disember – Gerak kerja yang telah dilaksana bekas Menteri dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, sebelum ini akan terus diperkukuh kementerian.

Komitmen disuarakan Menteri yang baru dilantik, Dr Mohammed Taufiq Johari sambil menyifatkan pelaksanaan usaha dan perancangan kepimpinan terdahulu sebagai satu gerak kerja yang mantap dan telah memberi impak besar pembangunan sukan serta belia di negara ini.

“Paling penting sebenarnya, dengan bantuan juga sokongan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Dr Nagulendran Kangayatkarasu yang begitu komited dan hebat dalam bersama-sama membangunkan KBS,” katanya.

Dr Mohammed Taufiq turut berharap KBS dapat bekerjasama secara rentas kementerian dengan agensi berkaitan bagi memastikan pengukuhan agenda belia serta sukan, khususnya dalam usaha membentuk Malaysia MADANI yang mampan.

“Ini adalah hari pertama saya, baru sahaja masuk ke sini dan saya akan mendapat taklimat daripada KSU, Ketua Jabatan dan sebagainya, selepas taklimat saya akan menyatakan dengan lebih detail lagi gerak kerja yang mahu kita lakukan.

“Jadi berikan sedikit masa dan saya yakin insya-Allah kepercayaan yang diberikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada saya dan Timbalan Menteri, dan sokongan Datuk KSU, saya yakin kita boleh mampu melonjakkan lagi KBS, ” katanya.

Pelantikan Dr Mohammed Taufiq, diumumkan Perdana Menteri semalam sebagai sebahagian rombakan Kabinet Kerajaan MADANI bagi mengisi beberapa kekosongan jawatan.