LONDON, 14 Disember – Arsenal semakin melebarkan kedudukan sebagai pendahulu liga selepas mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas pasukan tercorot Liga Perdana Inggeris, Wolverhampton Wanderers hasil dua gol sendiri lawan termasuk satu pada masa kecederaan, sekali gus melebarkan jurang kepada lima mata di hadapan Manchester City.
Pada perlawanan tersebut, Arsenal tampil hambar pada separuh masa pertama apabila gagal melakukan sebarang percubaan tepat ke arah gol, dengan Gabriel Martinelli mensia-siakan beberapa peluang keemasan.
Arteta kemudian melakukan tiga pertukaran sebelum minit ke-60, dengan memasukkan Leandro Trossard, Martin Ødegaard dan Mikel Merino, menggantikan Martinelli, Eberechi Eze dan Martin Zubimendi.
The Gunners kemudiannya meningkatkan tempo permainan dengan asakan bertali arus.
Namun percubaan tepat pertama hadir menerusi Declan Rice pada pertengahan separuh masa kedua yang diselamatkan penjaga gol Wolves, Sam Johnstone.
Tekanan berterusan akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-70 apabila Johnstone tersilap menepis sepakan penjuru Bukayo Saka menyebabkan bola terkena lengannya sebelum masuk ke gawang sendiri.
Areteta kemudiannya memasukkan Gabriel Jesus menggantikan Viktor Gyökeres.
Namun, Wolves mengejutkan penyokong tuan rumah apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-90, hasil tandukan penyerang Nigeria, Tolu Arokodare, selepas menerima hantaran lintang Mateus Mané.
Ketika perlawanan bakal berakhir dengan kedudukan seri, Arsenal berjaya memperoleh gol kemenangan hasil jaringan sendiri pemain Wolves.
Gol berkenaan berpunca hasil hantaran lintang Saka yang cuba disambar Jesus sebelum bola tertampan masuk ke gawang sendiri oleh pertahanan Wolves, Yerson Mosquera.
Sementara itu, pengurus Arsenal, Mikel Arteta, mengakui pasukannya bergelut untuk mencipta peluang dan sepatutnya meraih kemenangan yang lebih selesa, namun percaya kemenangan dramatik itu mampu menyuntik keyakinan besar kepada skuadnya.
“Ia memberi kepercayaan bahawa tidak kira bagaimana perlawanan berlangsung, kami sentiasa boleh mencari jalan untuk menang,” katanya kepada TNT Sports.
“Sekarang kami mempunyai minggu yang bersih. Kami perlu mula melatih beberapa aspek secara berperingkat, kerana jika tidak dilatih, prestasi akan mula merosot”, tambahnya.
Wolves yang masih belum mencatat sebarang kemenangan kini mengalami kekalahan kesembilan berturut-turut.
Pasukan berkenaan sekadar mengumpul dua mata daripada 16 perlawanan liga dan kini berada dalam zon relegasi liga. -AFP

