TOKYO, 16 November – Ketika dua wakil perseorangan negara tumbang pada aksi pembukaan, R. Aravindakumara muncul penyelamat skuad badminton pekak Malaysia apabila menghadiahkan kemenangan pertama pada perlawanan pertama peringkat Kumpulan G di Deaflympics Tokyo 2025.
- R. Aravindakumara raih kemenangan pembukaan penting untuk Malaysia dalam Kumpulan G Deaflympics Tokyo 2025.
- Tewas 21-23 pada set pertama, dia ubah taktikal dan menang set kedua 21-12.
- Pamer semangat juang luar biasa, bangkit dari 16-20 untuk menang penentuan 22-20.
- Kemenangan beri suntikan moral selepas kekalahan Edmund Teo dan Trisya Rafael.
- Aravindakumara akan bertemu Chung-I Chen (Taiwan) esok; dua teratas kumpulan layak ke kalah mati.
Aravindakumara yang menentang pemain Thailand, Anuntawip Sombun bagaimanapun tewas 21-23 dalam pertarungan sengit di set pertama.
Perubahan taktikal yang dilakukan berjaya membuahkan hasil apabila pemain negara itu bangkit memenangi set kedua 21-12.
Aksi set penentuan pula menyaksikan Anuntawip hanya memerlukan satu mata untuk menang ketika mendahului 20-16, namun Aravindakumara yang enggan mengaku kalah mempamerkan semangat juang luar biasa mengutip enam mata berturut-turut untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan 22-20.
Kemenangan itu hadir tepat pada waktunya selepas dua lagi wakil negara, Edmund Teo dan Trisya Rafael tewas dalam aksi masing-masing.
Ia sekali gus menjadi suntikan moral buat kem badminton pekak negara pada hari yang penuh tekanan.
Edmund terdahulu tewas kepada pemain Jepun, Yasuhiro Nagaishi, 21-16, 16-21 dan 20-22.
Manakala perseorangan wanita, Trisya Rafael tumpas kepada pemain tuan rumah, Mai Kamata 3-21, 3-21.
“Set pertama memang mengecewakan. Tapi lepas coach beritahu taktikal untuk set kedua, saya cuba buang tekanan dan kekalkan ketenangan. Itu yang bantu saya kawal permainan dan kutip mata demi mata. Apa pun, ini pengalaman penting untuk kejohanan-kejohanan akan datang,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Aravindakumara akan berdepan pemain Taiwan, Chung-I Chen dalam pertemuan kedua kumpulan esok.
Menurut format kejohanan, dua pemain teratas peringkat kumpulan akan layak ke peringkat kalah mati.

