Cagliari benam Roma, Napoli–Juve penentu puncak Serie A

MILAN, 8 Disember – Roma terlepas peluang untuk menyamai Inter Milan di tangga teratas Serie A selepas tewas 1-0 kepada Cagliari, pada Ahad.

Beraksi dengan 10 pemain hampir separuh masa kedua susulan layangan kad merah kepada Zeki Celik kerana menjatuhkan Michael Folorunsho, Roma akhirnya dihukum menerusi jaringan Gianluca Gaetano pada minit ke-82 hasil sepakan penjuru.

Kekalahan kedua berturut-turut itu menyaksikan skuad Gian Piero Gasperini kekal di tangga keempat, tiga mata di belakang Inter yang menumpaskan Como 4-0.

Jurang berkenaan dijangka berubah bergantung kepada keputusan perlawanan seterusnya.

Napoli pula akan melayan kunjungan Juventus dengan peluang untuk merampas takhta liga, selain berdepan bekas jurulatih mereka, Luciano Spalletti, yang kini membimbing Juve.

Aksi ini juga merupakan kepulangan pertama Spalletti ke Naples sejak membawa Napoli menjuarai Serie A pada 2023.-AFP