Bundesliga: Bayern Munich kekal di puncak

MUNICH, 23 November – Juara bertahan Bundesliga Jerman, Bayern Munich bangkit daripada ketinggalan dua gol ketika menentang Freiburg sebelum menang 6-2.

Pada perlawanan tersebut, Bayern Munich dikejutkan dengan gol awal menerusi Yuito Suzuki pada minit ke-12 perlawanan hasil situasi bola mati.

Pemain Freiburg, Johan Manzambi berjaya menjadikan kedudukan 2-0 selepas tandukannya gagal diselamatkan oleh penjaga gol Bayern Munich pada minit ke-17.

Menyedari ketinggalan, Bayern menggandakan asakan dan berjaya merapatkan jurang pada minit ke-21 menerusi rembatan kencang Lennart Karl hasil umpanan Michael Olise.

Olise sekali lagi bertindak cemerlang apabila menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan babak pertama.

Bersambung babak kedua, Olise terus menjadi duri dalam daging buat Freiburg apabila hantaran jauhnya berjaya disudahkan oleh Dayot Upamecano menerusi rembatan voli bagi menjadikan kedudukan 3-2.

Penyerang antarabangsa England, Harry Kane menambah derita Freiburg dengan gol keempat pada minit ke-60.

Gol berkenaan merupakan jaringan ke-14 musim ini.

Bayern Munich terus mengganas dengan gol kelima yang berjaya disudahkan oleh Nicolas Jackson pada minit ke-60 selepas mendapat hantaran hasil larian solo oleh Olise.

Olise menutup pesta gol Bayern Munich dengan gol keenam pada minit ke-84 hasil rembatan lengkung yang menewaskan penjaga gol Freiburg.

Kemenangan itu membolehkan Bayern Munich kekal di puncak liga dengan 31 mata, lapan mata mengatasi Bayer Leverkusen di tangga kedua. – REUTERS