BAM masih perlu khidmat Rexy Mainaky

KUALA LUMPUR, 15 Disember – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih memerlukan khidmat Rexy Mainaky dalam pembangunan sukan itu dengan asas yang kukuh demi mencapai kejayaan lestari pada temasya sukan akan datang.

Presiden BAM Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi hantaran Facebook memaklumkan, pengalaman serta falsafah pembangunan tidak wajar dinilai hanya berdasarkan satu kejohanan, sebaliknya dilihat dalam konteks pembangunan jangka panjang.

“Saya menghargai keterbukaan Rexy dan pendirian saya jelas, kita masih memerlukan beliau. Satu kegagalan tidak menafikan kejayaan besar tahun ini. Kita muncul juara dunia beregu campuran dan buat kali pertama beregu wanita mara ke final Kejohanan Dunia, pencapaian yang mengangkat martabat pemain negara,” menurut hantaran itu.

Pencapaian di Sukan SEA memberi pengajaran berharga dan BAM akan terus menimba pengalaman, memperbaiki kelemahan serta bangkit lebih matang, dengan pada masa sama menyifatkan temasya dwitahunan itu bukan noktah sebaliknya batu loncatan bagi kemajuan persatuan.

“Sebagai Presiden BAM, komitmen saya kekal: membina badminton Malaysia atas asas kukuh dan kejayaan jangka panjang. Perjalanan ini belum selesai. Kita akan terus melangkah bersama.

“Walaupun sasaran emas tidak dicapai, skuad negara menunjukkan kemajuan positif dengan meraih sembilan pingat, melepasi sasaran awal tujuh pingat.

“Lebih bermakna, kita meraih pingat perseorangan wanita, pencapaian pertama sejak enam tahun lalu. Ini membuktikan pembangunan bakat berada pada trajektori yang betul,” tambah kenyataan itu.

Prestasi di Sukan SEA Thailand bukan kegagalan individu, sebaliknya tanggungjawab bersama melibatkan pemain, barisan kejurulatihan, pengurusna dan kepimpinan dengan pegangan prinsip “kita menang sebagai satu pasukan, apabila tewas kita juga bertanggungjawab bersama.”

“Sukan SEA 2025 bukan pentas yang mudah buat kita. Kita akui kelemahan dan terima hakikat bahawa tidak semua sasaran tercapai. Dalam sukan, keputusan di gelanggang tidak boleh disorok, ia menuntut kejujuran, keberanian dan tanggungjawab bersama,” menurut hantaran itu.

Semalam, Rexy secara terbuka menyatakan kesediaannya memikul tanggungjawab susulan kegagalan anak buahnya mencapai sasaran ditetapkan pada Sukan SEA Thailand 2025, termasuk melepaskan jawatan sekiranya menerima desakan daripada mana-mana pihak selepas gagal membantu BAM membawa pulang empat pingat emas pada temasya dwitahunan itu.