AS umum aksi pemanas badan menentang Belgium, Portugal dan Jerman sebelum Piala Dunia

WASHINGTON, 3 Disember – Amerika Syarikat akan melengkapkan persiapan akhir menjelang Piala Dunia 2026 dengan siri perlawanan persahabatan menentang Belgium, Portugal dan Jerman, umum Persekutuan Bola Sepak Amerika Syarikat pada Selasa.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino akan memulakan fasa terakhir persiapan dengan aksi menentang Belgium di Atlanta pada 28 Mac.

Pasukan tuan rumah itu kemudian kekal di Georgia untuk bertemu Portugal yang dibarisi Cristiano Ronaldo pada 31 Mac, juga di Stadium Mercedes-Benz Atlanta.

Amerika Syarikat dijadual mengadakan satu lagi aksi persahabatan di Charlotte, North Carolina pada 31 Mei sebelum menamatkan jadual pemanas badan dengan pertemuan menentang juara Piala Dunia empat kali, Jerman di Soldier Field, Chicago pada 6 Jun.

“Ini peluang besar untuk kami menguji kemampuan menentang beberapa pasukan terbaik dunia. Ia perlawanan yang cukup istimewa untuk para pemain dan juga peminat,” menurut Pochettino dalam satu kenyataan.

Belgium, Portugal dan Jerman telah pun mengesahkan slot ke Piala Dunia tahun depan, yang akan menyaksikan format diperluas kepada 48 pasukan serta dianjurkan bersama Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.

Kejohanan itu akan membuka tirai pada 11 Jun, manakala aksi final berlangsung pada 19 Julai. Amerika Syarikat akan memulakan kempen mereka di Los Angeles pada 12 Jun.

AS akan mengetahui lawan peringkat kumpulan mereka apabila undian rasmi Piala Dunia diadakan di Washington pada Jumaat.- AFP