WOLVERHAMPTON, 9 Disember – Manchester United kembali bangkit dalam perebutan slot Liga Juara-Juara selepas Bruno Fernandes mempamerkan aksi cemerlang untuk mengetuai kemenangan 4-1 ke atas Wolves di Molineux, awal pagi tadi.
Kemenangan tersebut meletakkan United hanya satu mata di belakang kelompok empat teratas Liga Perdana.
Pengendali United, Ruben Amorim menyifatkan prestasi itu sebagai bukti pasukannya meningkat selepas bangkit daripada kekecewaan seri dengan West Ham minggu lalu, dengan dua gol Fernandes serta jaringan Bryan Mbeumo dan Mason Mount.
“Saya sangat puas hati dengan permainan separuh masa kedua. Kami bermain dengan tempo dan keputusan yang baik. Kami menamatkan permainan dan Wolves berada dalam situasi sukar. Ia satu malam yang baik.
“Kami perlu meningkatkan kualiti percubaan dan bukan hanya fokus menyerang tetapi juga melindungi gawang kami. Berbanding musim lalu, kami mencipta lebih banyak peluang dan menjaringkan lebih banyak gol, jadi saya amat gembira,” kata Amorim.
Terdahulu Wolves menyamakan kedudukan hasil jaringan Jean-Ricner Bellegarde, gol liga pertama mereka sejak Oktober namun United menguasai sepenuhnya babak kedua untuk memastikan kemenangan penting.
Wolves kini tewas lapan perlawanan liga berturut-turut, menyamai rekod buruk mereka sejak musim 1981- 82.
Pengurus baharu, Rob Edwards, masih belum mencatat kemenangan sejak menggantikan Vitor Pereira pada November.
Dengan hanya dua mata selepas 15 perlawanan, Wolves berdepan risiko menyamai rekod permulaan tanpa kemenangan terpanjang Liga Perdana, 17 perlawanan oleh Sheffield United.-AFP

