Amir Daniel raih emas pertama Judo Malaysia di Sukan SEA 2025

BANGKOK, 12 Disember – Atlet judo negara, Amir Daniel Abdul Majeed, menghadiahkan pingat emas pertama buat kem judo Malaysia pada Sukan SEA Thailand 2025 selepas menjuarai kategori bawah 81 kilogram (kg) lelaki, hari ini.

Atlet berusia 21 tahun itu memastikan gelaran juara menjadi miliknya selepas menewaskan wakil Filipina, Ferrer John Viron, pada aksi final yang berlangsung di Rajamangala Auditorium, Rajamangala University of Technology Thanyaburi.

Sebelum itu, Amir Daniel menempah slot ke pentas akhir apabila menundukkan wakil Indonesia, Hartato Diki, pada peringkat separuh akhir.

Kejayaan berkenaan turut mencatat pencapaian terbaik Amir Daniel di temasya Sukan SEA selepas sebelum ini sekadar meraih pingat gangsa dalam kategori bawah 73kg pada dua edisi terdahulu.

Sementara itu, kem judo negara terus menambah koleksi pingat apabila atlet wanita, Nor Izzatul Fazlia Mohamad Tahir, meraih pingat gangsa dalam kategori atas 78kg wanita.