PRN Sabah: Semua parti, calon diseru kempen berhemah

KUCHING, 15 November – Semua parti dan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diseru menjaga keharmonian serta mengutamakan kempen berhemah sepanjang tempoh pilihan raya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Fadillah Yusof.

RINGKASAN BERITA AI
  • Semua parti dan calon diseru berkempen secara berhemah sepanjang PRN Sabah.
  • Tekankan budaya politik matang dan beradab untuk mengekalkan keharmonian komuniti.
  • Elakkan provokasi dan tindakan yang boleh mencetuskan perpecahan masyarakat.
  • Patuh dan ikut segala peraturan serta undang-undang pilihan raya.
  • PRN mencatat penyertaan wanita signifikan — 71 calon wanita, Warisan hantar sembilan.

Beliau menegaskan budaya politik matang dan beradab penting bagi memastikan hubungan antara komuniti di Sabah kekal harmoni tanpa sebarang provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan.

“Saya mengharapkan semua parti yang bertanding berkempenlah secara berhemah atas dasar semangat demokrasi dan elakkan perkara yang boleh membangkitkan perpecahan, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat di Sabah tetapi juga keharmonian di Malaysia ini. Jagalah tertib, ikut dan patuhilah segala peraturan di bawah undang-undang pilihan raya,” katanya.

Datuk Fadillah berkata demikian ketika ditemui pada program Women of Impact Sarawak, Driving Social Change di sini hari ini.

PRN kali ini menyaksikan sebanyak 71 daripada 596 calon bertanding adalah wanita dengan Warisan menghantar jumlah calon wanita terbanyak sebanyak sembilan orang.

SPR menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Sabah pada 25 November dan hari pengundian pada 29 November ini.