Pengguna media sosial dinasihat berhemah sepanjang musim pilihan raya – MCMC

KUALA LUMPUR, 15 November – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menasihatkan pengguna media sosial kekal beretika dan bertanggungjawab ketika berkongsi kandungan, khususnya sepanjang musim pilihan raya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kekal beretika dan bertanggungjawab ketika berkongsi kandungan sepanjang musim pilihan raya.
  • Elakkan menyebar kebencian, hasutan atau penghinaan yang menjejaskan keharmonian dan kestabilan negara.
  • MCMC akan ambil tindakan penguatkuasaan terhadap pelanggaran undang-undang komunikasi dan multimedia.

Menurut MCMC dalam satu kenyataan, perbezaan pandangan politik adalah sebahagian daripada amalan demokrasi, namun perlu menzahirkan ia secara sopan, berhemah dan tidak melanggar undang-undang.

Platform digital seharusnya menjadi saluran untuk menyebar maklumat sahih dan membina, bukan tempat menabur kebencian, hasutan atau penghinaan terhadap mana-mana pihak sehingga menjejaskan keharmonian serta kestabilan negara.

“Mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), penggunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi bagi menyebarkan kandungan berunsur hasutan, penghinaan terhadap kaum, agama dan raja (3R), serta kandungan lucah, palsu, mengancam atau jelik melampau adalah dilarang.

“Sabit kesalahan, individu boleh didenda hingga RM500,000 atau dipenjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali,” jelas kenyataan itu.

MCMC akan mengambil tindakan tegas termasuk siasatan dan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, selain terus bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan akauntabiliti serta ketenteraman awam terpelihara. – BERNAMA