KUALA PERLIS, 3 Disember – Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) meneruskan program Ziarah Kasih seluruh Perlis dengan menyantuni 104 pelajar asnaf sekolah rendah dan menengah terpilih.
Ziarah Kasih yang dilaksanakan ini merupakan kesinambungan komitmen tersebut bagi memastikan keluarga asnaf terus menerima perhatian, sokongan dan pemantauan yang berterusan.
Menurut Pengerusi FCoEE, Prof. Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin, program dilaksanakan bukan sekadar inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), tetapi lebih terarah kepada pembangunan holistik keluarga asnaf.
Melalui pendekatan turun padang ke kediaman masing-masing, program ini bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi turut menjadi wadah bagi menyemai semangat silaturahim, kasih sayang dan keprihatinan antara pihak FCoEE, rakan strategik serta keluarga peserta.
Selain itu, Ziarah Kasih turut berfungsi sebagai medium bagi FCoEE menilai serta memahami latar belakang sebenar peserta terdiri anak-anak asnaf agar pelaksanaan PPITM dapat terus ditambah baik dan memberi kesan positif yang menyeluruh kepada komuniti sasaran.
“Jika kita tidak melakukan ziarah dan tidak berjumpa dengan keluarga, kita tidak akan benar-benar memahami situasi mereka. Walaupun lawatan ini singkat, ia tetap penting kerana kita dapat berkenalan dengan keluarga mereka dan memperoleh sedikit gambaran tentang latar belakang mereka. Saya percaya bahawa dengan cara ini, projek yang kita jalankan akan lebih dekat dengan masyarakat,” katanya.
Beliau memaklumkannya pada Program Ziarah Kasih Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih Madani (PPITM) di Kampung Pulau Ketam, Kuala Perlis bersama wakil Jabatan Pendidikan Negeri dan pensyarah Universiti Utara Malaysia.
FCoEE terus komited untuk memperkasa pendidikan berteraskan nilai kemanusiaan, menyemai budaya prihatin, serta memperluas impak positif program PPITM kepada komuniti setempat.
Program ini membuktikan bahawa pendidikan, apabila disemai dengan kasih dan empati, mampu menjadi pemangkin kepada perubahan kehidupan yang lebih bermakna dan berdaya tahan.

