AYER KEROH, 9 Disember – Kerajaan Negeri Melaka mengumumkan rancangan pembangunan infrastruktur jalan raya baharu yang dijangka mengubah landskap pengangkutan di negeri itu.
Antara projek utama ialah jajaran Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) sepanjang 69 kilometer yang merangkumi pembinaan enam pintu masuk baharu ke Melaka.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, berkata penambahan enam pintu masuk itu menjadikan keseluruhan sembilan pintu masuk ke Melaka, termasuk tiga plaza tol sedia ada iaitu Simpang Ampat, Ayer Keroh dan Jasin.
Katanya, pembinaan pintu masuk tambahan itu bertujuan memudahkan pergerakan penduduk setempat serta mengurangkan keperluan pengguna lebuh raya keluar melalui tol yang jauh dari kawasan penempatan mereka.
“Ketika ini terdapat kawasan seperti Bemban dan Masjid Tanah yang dilalui lebuh raya, namun pengguna terpaksa keluar melalui tol di Pedas, Alor Gajah atau Jasin. Penambahan pintu masuk baharu berhampiran kawasan penempatan dicadangkan bagi memudahkan pergerakan serta mengurangkan kesesakan,” katanya.
Datuk Hameed berkata demikian ketika ditemui selepas Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15 di Seri Negeri, di sini.
Menurut beliau, projek berkenaan dijangka dilancarkan pada penghujung 2026, tertakluk kepada penyelarasan pelaksanaan bersama kerajaan Negeri Sembilan dan Johor.
Beliau menambah Projek WCE akan berfungsi sebagai laluan alternatif utama untuk mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) serta memperkukuh rangkaian pengangkutan di sepanjang pantai barat Semenanjung, khususnya laluan dari Banting, Selangor ke Gelang Patah, Johor.

