SEREMBAN, 14 Disember – Warga Seremban diseru memastikan kebersihan bandar terus terpelihara, seiring dengan pencapaian Majlis Bandaraya Seremban (MBS) memperoleh Anugerah ASEAN Clean Tourism City 2024–2026.
Datuk Bandar MBS, Datuk Ir. Ts. Masri Baharuddin berkata, untuk tujuan itu, MBS sekali lagi menganjurkan program Operasi Pembersihan di pusat bandar Seremban untuk kali yang ke-23 tahun ini.
Kerja-kerja pembersihan melibatkan aktiviti mencantas pokok, pembersihan longkang, kutipan sampah dan kerja-kerja menyelenggara infrastruktur secara holistik.
Pihaknya turut bercadang untuk memantapkan pencahayaan di pusat bandar itu bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.
“Menjelang Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 yang hanya tinggal beberapa hari lagi, MBS memperhebatkan promosi, pencahayaan, dan aspek keselamatan bagi memastikan bandar raya ini, dengan tema MBS Mampan, Bersih dan Sejahtera, dapat dinikmati sepenuhnya.
“Saya yakin Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 akan lebih meriah dengan kehadiran pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Operasi Pembersihan di sini.
Turut hadir, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon.
Pada program itu, lebih 100 petugas terdiri daripada MBS dan pelbagai agensi terlibat dalam kerja-kerja pembersihan.

